Search Result

Jan 1, 2011

2011 : Membuka Lembaran Baru


1 Jan 2011, lembaran lama dilabuh sampai lembaran baru disingkap. Detik berubahnya tahun sentiasa dinanti oleh seluruh dunia kerana pada waktu itulah akan ada banyak bunga api dipertontonkan untuk menandakan bermulanya tahun baru.
Kita sering mengira dan menghitung tahun yang mana ia akan membawa makna bertambahlah lagi satu tahun terhadap umur kita dan umur seluruh makhluk Allah dimuka bumi ini. Sering kali kita diingatkan bahawa dengan bermulanya tahun baru maka akan terpahatlah azam tahun baru. Tapi bagaimanakah dengan azam yang lepas? sudahkah ianya dipenuhi ataupun dicapai? paling tidak pun, azam yang diletakkan pada awal tahun telah hampir - hampir tercapai. Apa azam kamu pada tahun hadapan? kata rakan saya. Saya dengan terpinga - pinga tersenyum tanpa berkata apa - apa. Terdiam seketika dek pertanyaan itu. Dalam hati berkata, pernahkah saya meletakkan atau menetapkan azam pada setiap awal tahun untuk dicapai pada hujung tahun? seingat saya, rasanya mungkin sekali kot, tu pun rasanya tak tercapai. Pertanyaan tadi membuatkan saya terpikir akan siaran radio yang berkumandang di corong - corong radio seluruh Malaysia, banyak azam yang ditetapkan oleh seseorang untuk dicapai menjelang hujung tahun. Azam yang selalu dinyatakan adalah menjadi yang lebih baik pada tahun baru. 

Pernah tak kita terfikir banyak azam yang ditetapkan hanya menjurus kepada kepuasan diri dan dengan lebih khusus lagi iaitu mementingkan diri. Tentu semua tertanya kenapa pula saya berkata sedemikian rupa. Sebabnya sangat mudah ianya adalah kerana azam yang kita buat adalah untuk diri kita sebab itulah ianya nampak seperti mementingkan diri sendiri. Pernah tak terlintas di benak anugerah ilahi untuk berazam menjadi khalifah yang bertanggungjawab dalam memenuhi janji kita pada ALLAH? Sebelum kita dilahirkan ke alam dunia, setiap seorang daripada kita telah berjanji pada ALLAH seperti mana yang tertulis didalam kalam ALLAH. Cuma dek kerana keegoan dan juga keangkuhan yang kita miliki menyebabkan kita lalai dan kekadang sedikit terpesong dalam tuntutan janji ALLAH. Bersamalah kita kembali bermuhasabah diri dengan menghayati kalam ALLAH supaya apa yang tertulis didalamnya menjadi pegangan utuh bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia mahupun di akhirat Renungi diri dan renungi diri insan yang kurang bernasib baik bagi melunturkan ego dan angkuhan diri dalam menerapkan sifat wasathiah dalam diri. Andai itu berlaku maka, insya allah kekalutan isu - isu masyarakat yang semakin menggila akan sedikit demi sedikit berkurang dan mungkin boleh hilang sama sekali. Fikir - fikirkanlah...."Selamat menyambut tahun baru", "Selamat melayari alam baru" bagi insan yang mendirikan masjid(berkahwin), "Selamat berjaga malam" bagi insan yang pertama kali bergelar bapa. dan Selamat berjuang bagi insan yang diuji. Segalanya telah tertulis tetapi jangan jadikan itu sebagai alasan kita hanya perlu redha dengan apa yang berlaku. ALLAH tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dirinya yang mengubahnya sendiri. Hayati dan fahami secara lebih kolektif agar tergerak hati mencari yang terbaik bagi diri untuk dibentangkan kepada pencipta kita.

No comments:

Post a Comment