Search Result

Nov 28, 2010

wuduk ketika sakit

Setiap orang tak akan lari merasa ujian Allah s.w.t dengan merasai kesakitan sama ada sakit yang sedikit ataupun sakit yang teruk. Sakit atau cedera boleh berlaku atas banyak sebab sama ada dari diri sendiri mahupun disebabkan oleh perkara yang tidak terduga.

Sebagai umat islam persoalan pertama yang kita fikirkan bila ditimpa sakit atau cedera adalah bagaimana dengan solat? Adakah kita tidak perlu menunaikan solat sekiranya kecederaan kita teruk sehingga mengganggu kebolehan kita mengambil air sembahyang atau kita hanya perlu memasang niat dan melaksanakan dalam keadaan kekurangan? Sekiranya kita tidak solat maka macam mana firman ALLAH swt yang menyebut “solat adalah tiang agama” sekiranya tidak dijaga solat kita maka perkara yang lain menjadi tidak sempurna.


Saya terdetik untuk menyelami perkara ini setelah rakan saya bertanya saya “macam mana cara wuduk kalau orang tersebut sakit seperti patah kaki dan tangan hanya boleh digunakan sebelah sahaja?”. Dalam keadaan ceteknya ilmu didada ini saya cuba memberikan pendapat iaitu sekiranya seseorang itu sakit memadailah untuk dia mengambil wuduk pada anggota yang boleh dan wajib sahaja. Rakan saya bertanya lagi “adakah kita boleh menolong pesakit tersebut mengambil air sembahyang dengan mengelapkan dengan kain?”. Itu saya tak dapat nak membantu dan mungkin awak boleh mencari maklumat yang lebih tepat pada orang yang betul.

Dalam perjalanan pulang dari pejabat saya masih terfikirkan perkara tersebut dan terdetik dalam hati “kalaulah perkara tersebut berlaku pada saya, macam manalah saya nak buat sama? Tak solat terus dengan harapan setelah sihat baru nak mengganti solat yang ditinggalkan atau melaksanakan syariat ALLAH dengan tunaikan solat tak berwuduk?” persoalan yang kurang diberi perhatian tetapi sangat besar untuk difahami tepat agar kita dapat membantu sekiranya diminta dan dapat melaksanakan seperti disyariatkan sekiranya ditimpa kecederaan yang teruk.

Hasil dari tekanan dalaman yang ingin mengetahui akan cara – cara wuduk orang sakit dan dapat disampaikan sewaktu perlu, saya berusaha mencari buku dan menyusuri google yang sentiasa tidak menghampakan si pencarinya. Kekurangan ilmu yang saya ada telah membawa saya kepada 2 penemuan informasi yang saya rasa sangat baik untuk di ketengahkan bagi memberi kefahaman kepada umat islam dalam usaha “amal makruf, nahi mungkar”.

Informasi yang diperolehi adalah seperti dibawah :-

Petikan dari : http://www.mymasjid.net.my/
1. Bagi yang dapat berwuduk seperti orang yang sihat, hendaklah dia melakukannya.

2. Bagi yang mengalami kecederaan di mana-mana bahagian anggota wuduk, hendaklah diperhatikan beberapa perkara:

i. Sekiranya kecederaan itu tidak mudarat jika terkena air, maka hendaklah dilakukan ibadat wuduk tersebut sebagaimana biasa.

ii. Jika kecederaan itu tidak boleh terkena air dan ianya memudaratkannya, maka terdapat dua keadaan:

Pertama: Sekiranya tempat kecederaan itu tidak dibalut, hendaklah seseorang pesakit tadi - semasa mengambil wuduk sebagaimana biasa - menjaga supaya air tidak terkena tempat tersebut, sementara bahagian yang tidak boleh terkena air wuduk tadi, pesakit itu hendaklah melakukan tayammum sebelum berpindah ke anggota wuduk yang lain.

Kedua: Sekiranya ianya dibalut, maka ambillah wuduk dahulu mengikut peraturannya sehinggalah sampai kepada anggota yang cedera tadi laIu dilakukan tayammum sebelum berpindah ke bahagian wuduk yang lain.

3. Bagi yang tidak dapat melakukan wuduknya sendiri, hendaklah diminta seorang yang lain mewudukkannya walaupun dengan diminta bayaran di atas pertolongan tadi.

4. Sekiranya tiada yang menolong, maka jika pesakit dapat bertayammum hendaklah dilakukannya dan dikerjakan sembahyang seperti biasa, apabila sembuh hendaklah diulangi (i'adah) semula sembahyang tadi.

5. Jika pesakit tidak dapat juga bertayammum, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan keadaan tersebut dan apabila sembuh nanti hendaklah dia mengulanginya (sembahyang).

ii) Jenis-jenis penyakit dan cara berwuduk

1. Buasir: Apabila masuk waktu sembahyang, hendaklah pesakit menyucikan dahulu kemaluannya, kemudian diletakkan kain atau sebagainya padanya bagi menghalang najis dan meleleh atau terkena pakaiannya, setelah itu ambillah wuduk dengan cara biasa dan terus dikerjakan sembahyang dengan segera. Apa-apa yang terkeluar dari kemaluan semasa sedang berwuduk atau sembahyang, ianya tidak merosakkan ibadat tadi dan tidak perlu lagi diulangi solat tadi.

2.Dedas (air kencing yang sentiasa terkeluar) Caranya sama dengan masalah buasir di atas.

3. Darah istihadah (darah penyakit bagi wanita): Caranya sama seperti di atas.

4. Pemakaian wayar di dalam saluran najis yang tidak boleh dicabut dan disambungkan dengan bekas najis:

Sekiranya kemaluan dan bekas najis itu boleh dibersihkan, maka hendaklah dibersihkan dahulu sebelum mengambil wuduk, kemudian ambillah air sembahyang sebagaimana biasa dan kerjakanlah sembahyang, sekiranya salah satu atau beberapa perkara yang tersebut di atas tidak dapat dilakukan, maka hendaklah dibuat sekadar yang termampu.

5. Pemakaian jarum bagi memasukkan ubat yang diletakkan di tangan: Sekiranya tidak dapat dibuang plasternya, maka apabila hendak mengambil wuduk hendaklah membasuh bahagian tangan yang elok dengan air tersebut, menyapukan air di atas plaster tadi serta bertayammum dan sempurnakan wuduk lalu menunaikan sembahyang seperti biasa. Sembahyang yang dikerjakan itu hendaklah diulangi kembali setelah sembuh kerana balutan tersebut berada pada anggota tayammum.

6. Penyakit yang menjadikan pesakit tidak berupaya Iangsung untuk bergerak (seperti yang ditebuk pada leher atau perutnya dan sebagainya): Sekiranya boleh diminta bantuan dan seseorang yang boleh mewudukkannya atau mentayammumkannya (sekiranya tidak boleh terkena air) pada setiap kali mengambil wuduk walaupun dengan member bayaran kepadanya, maka itulah yang terbaik. Sekiranya tiada yang boleh membantu, maka hendaklah ditunaikan sembahyang tanpa wuduk atau tayammum kerana menuruti penintah Allah s.w.t. dan menghormati waktu sembahyang.

Sekiranya dia berdaya untuk mengulangi sembahyang tadi selepas sembuh dan penyakit tersebut, maka adalah terlebih baik baginya untuk berbuat demikian, jika tidak terdaya maka tidak perlulah diulangi lagi ibadat tadi.

7. Anggota wuduk yang dipotong: Sekiranya sebahagian anggota itu masih ada, hendaklah diwudukkannya seperti biasa (sebagai contoh: Tangan yang dikerat separuh, separuh lagi hingga ke siku masih ada, maka hendaklah dibasuhkan yang baki tadi), tetapi jika tidak ada langsung (kaki yang dikerat sehingga ke betis) maka anggota selepasnya tidak wajib diwudukkan tetapi sunat dikenakan juga air wuduk.

8. Memakal balutan, simen, plaster dan sebagainya:

Sekiranya balutan itu tidak boleh ditanggalkan wajiblah dia membasuh anggotanya yang baik dan menyapu air ke atas tampalan atau balutan tersebut, bertayammum sebagai ganti sebahagian anggota di bawah tampalan atau balutan yang air tidak sampai kepadanya. Jika balutan itu pada anggota tayammum sepenti sebahagian tangan atau muka sahaja maka hukum tayammum pada balutan tersebut adalah sunat.

Hukum sembahyangnya: Ianya tertakluk kepada tiga keadaan wajib diulangi sembahyang dan dua keadaan yang tidak wajib diulangi sembahyangnya:

Petikan dari : http://www.ustaznoramin.com/

Terlebih dahulu saya datangkan firman Allah yang bermaksud :
" Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. " (Al-Maidah : 6)

Dari firman Allah di atas ini dapat disimpulkan bahawa wuduk merupakan perkara yang wajib dilakukan untuk mengharuskan solat dan perbuatan-perbuatan ibadah yang lain. Tetapi apabila ketiadaan air bagi kawasan tersebut atau air yang ada hanya cukup untuk minum sahaja, maka perlulah seseorang itu bertayammum untuk mengharuskannya solat. Islam adalah agama yang sempurna dan Islam itu adalah agama yang mudah, tetapi jangan kita memudah-mudahkan agama.

Islam mempunyai kaedah bagi orang yang mengalami kecederaan disebabkan kemalangan atau musibah-musibah yang lain. Dikuatiri apabila terkena air akan mendatangkan kecederaan yang lebih teruk, lukanya lambat sembuh dan seumpamanya. Maka cara bagi orang yang sakit seperti yang dinyatakan di atas adalah seperti pesakit wajib membasuh atau mengambil wuduk bagi anggota yang tidak cedera mengikut tertibnya (mengikut susunan wuduk). Apabila sampai ke anggota wuduk yang cedera atau berbalut hendaklah ia menyapuka air di atas balutannya sebagai syarat membasuh. Kemudian pesakit tersebut hendaklah bertayammum bagi anggota yang berbalut mengikut cara tayammum. Dengan cara ini pesakit boleh melakukan solat seperti biasa.

Sebenarnya ada pendapat lain yang menyatakan bahawa anggota wuduk yang cedera hanya disapukan dengan air sahaja dan tidak perlu bertayammum. Tetapi pendapat yang lebih baik adalah seperti yang dinyatakan di atas dengan melakukan wuduk bagi anggota yang tidak cedera, manakala bagi anggota yang cedera atau berbalut hendaklah disapukan air sahaja dan ditayammumkan anggota tersebut.

2 comments:

  1. Sila nyatakan rujukan pendapat lain (link) bahawa hanya berwuduk sahaja tanpa tayammum. Ini kerana jika perlu berwuduk dan tayammum sekaligus amat menyusahkan pesakit. Dahlah tangan basah kemudian kena sediakan tanah. Dalam keadaan tangan basah kena menepuk tanah yang ada debu Macammana tu???
    Dimana keringanan yang diberikan syarak jika kita sakit. Sedangkan solat boleh dijamakkan jika sakit apatah lagi mengambil wuduk. Saya tertanya-tanya pendapat yang memberi keringanan dalam hal wuduk jika sakit.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..sy nk brtnyer 1 soalan..jika pesakit tngan kiri xley nk gerak pula mcm mne??

    ReplyDelete