Search Result

Dec 26, 2010

Bulan Kenduri

Musim cuti sekolah merupakan satu tarikh yang sentiasa dikaitkan dengan musim permulaan hidup berdua (berkahwin). Tidak kurang juga musim cuti sekolah jualah ramai yang membuat perancangan bercuti - cuti malaysia bagi merehatkan diri dan meluangkan masa bersama keluarga yang sering ditinggalkan ketika berkerja. Bagi pengendali hotel dan rumah penginapan, pada masa inilah dikatakan peak time kerana ramai yang akan menghubungi untuk menyewa hotel dan penginapan mereka sehingga kekadang ada yang kecewa kerana semuanya penuh. pada 25 Disember 2010, saya ada menghadiri majlis perkahwinan sedara di sebelah isteri, majlis yang dilangsungkan terasa amat meriah dan sangat tersusun.

Dec 20, 2010

Jangan Salah Asuhan

Hadith :


Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash, katanya: “Bahawa Rasulullah s.a.w. berkata: “Dari pada dosa-dosa yang berat; seseorang memaki ibu bapanya.” Bertanya orang yang hadir kepada beliau; Ya Rasulullah s.a.w. adakah orang yang memaki ibu bapanya? Jawab beliau: Ya, dia memaki-maki bapa orang lain, orang itu memaki bapanya pula, dan dia memaki ibu orang lain, orang itu memaki ibunya pula.”

(Muslim)

Dec 19, 2010

MAHA 2010

 Walaupun MAHA 2010 telah berlalu 2 minggu yang lalu tapi kehangatannya mungkin masih dirasai. Bagi sesiapa yang tidak sempat untuk menghadirinya akan terasa amat rugi dan bagi peminat tumbuhan hiasan akan terasa lebih rugi kerana sangat banyak tumbuhan - tumbuhan hiasan yang dipamer jua dijual. Semua tumbuhan - tumbuhan hiasan tersebut cantik dan keinginan untuk memiliki tumbuhan tersebut akan terasa membuak - buak dengan melihat kecantikannya yang pelbagai warna. Saya yang tidak suka tumbuhan hiasan jua terasa bagai ingin memilikinya tapi diri terasa susah lah untuk menjaganya. Akan begitu, terbeli jualah 4 jenis pokok orkid dan sepohon pokok cili yang cantik dan subur. Saya ada ceritakan pada rakan pejabat yang saya beli sepohon pokok cili, tunggulah 2 minggu lagi pokok tu akan mati punyalah, katanya sambil tersenyum. Pengalamannya yang membeli pokok serupa pada MAHA sebelumnya membuatkan dia berkata demikian.

Dec 16, 2010

Malaysia gah di Bukit Jalil

SAFEE (kiri) merai jaringannya bersama rakan
sepasukan, S Kunanlan ketika aksi separuh
akhir menentang Vietnam di Stadium
Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
- Foto Osman Adnan
(Kredit pada Berita Harian)
Zaman kegemilangan Malaysia bagaikan kembali semula setelah kita melihat aksi separuh akhir di stadium bukit jalil yang dibanjiri peminat yang sentiasa dahagakan kemeriahan dan kegemilangan Malaysia. Stadium Bukit Jalil semalam yang dibanjiri lautan pengyokong tempatan dan jua penyokong vietnam sangat gembira dengan aksi yang disajikan dengan kedua - dua pasukan saling berbalas serangan. 

Dec 12, 2010

Al-quran Sebagai Pemberi Syafaat Di Hari Akhirat


Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”


Riwayat Muslim

Huraian & Pengajaran :


i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Dec 11, 2010

Mentaati Kedua Ibu Bapa

Hadith :

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”


Riwayat al-Hakim


Huraian & Pengajaran :


i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

Dec 7, 2010

Kelebihan Muharam

Hari ini 7 Disember 2010 bermula tahun baru dalam kalendar atau takwim Islam. Takwim Islam, dalam setahun terdapat 12 bulan dan di dalam setiap bulan tersebut terdapat fadhilat dan kelebihan tersendiri. Sebelum ini, saya sentiasa merasakan setiap bulan dalam takwim Islam sama sahaja dengan kalendar barat yang mana saya laluinya seperti biasa tanpa mengetahui apa perkara – perkara sunat dan kelebihan yang saya boleh perolehi darinya. Kelebihan dan perkara sunat yang diketahui serta di war – warkan secara besar – besaran hanyalah bulan Ramadan. Apa yang penting bagi saya waktu itu adalah cuti. Tetapi setelah mengetahui akan fadhilat dan kelebihan yang boleh kita perolehi bagi setiap bulan yang saya lalui membuatkan diri ini sentiasa tidak sabar dalam menempuh setiap bulan kerana ingin memperolehi fadhilat – fadhilatnya dan saya sentiasa rasa sesuatu setiap kali mengisi hari – hari dalam bulan tersebut dengan amalan – amalan sunat yang disyariatkan.

Dec 6, 2010

Muharam

6 Disember 2010 bersamaan dengan 29 Zulhijah 1431 hijrah yang mana ia merupakan hari terakhir sebelum umat Islam melangkah ke tahun baru mengikut kalendar Islam. Kita sering lupa akan tarikh dan tahun mengikut pengiraan kalendar Islam tapi kita tidak pernah lupa tarikh dan tahun bagi pengiraan kalendar bukan Islam. Kebanyakan rakan – rakan saya sendiri tertanya – tanya kenapa 7 Disember 2010 adalah hari cuti umum. Mungkin itulah penjajahan yang sangat berjaya oleh orang bukan Islam terhadap orang Islam. Islam bermula dengan bulan Muharam dan diakhiri dengan bulan Zulhijah. Dalam setiap bulan Islam itu terdapatnya peristiwa – peristiwa yang penting untuk diingati oleh umat Islam. Bersempena kehadiran bulan Muharam ini, marilah kita sama – sama menghayati sejarah bermulanya pengiraan takwim hijrah.

Dec 4, 2010

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Hadith :

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?”

(Muslim)

Huraian :


Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan.

Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir.

Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain daripada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

- JAKIM -

Dec 3, 2010

Keutamaan Ilmu Dalam Memberikan Fatwa

Hadith :

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."

Ali r.a

Huraian :


i) Memberikan fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan yang berkaitan. Jika tidak, ia pasti akan membawa penyelewengan dalam hukum-hukum syarak.

ii) Orang yang mengambil mudah dalam hal sebegini sehingga melakukan kesalahan dalam memberikan fatwa akan dimurkai Allah dan dilaknat oleh malaikat-Nya.

- JAKIM -

Dec 1, 2010

Sekadar perkongsian

Mengamit tahun baru dengan rasa kekurangan menyelesaikan perihal tahun semasa menyebabkan diri kita terasa bagai sama sahaja setiap tahun tanpa ada pertambahan atau anjakan yang dapat memajukan diri kita ke tahap yang lebih baik. Ungkapan “hari ini hendaklah lebih baik dari semalam dan hari esok mestilah lebih baik dari hari ini” sering kedengaran dalam luahan motivasi tetapi apakah perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan betul atau sekadar ungkapan penyedap kata – kata. Setiap tahun saya terasa sama sahaja seperti tahun – tahun sebelumnya. Saya masih perlu bekerja, perlu ke pejabat awal pagi dan pulang dari pejabat lewat petang, kekadang tu terlajak ke malam. Semua rutin harian bagaikan tertulis sebegitu tanpa ada peningkatan. Saya juga sering bertanya pada diri apa sebenarnya yang saya nak dalam hidup ini?

Nov 28, 2010

wuduk ketika sakit

Setiap orang tak akan lari merasa ujian Allah s.w.t dengan merasai kesakitan sama ada sakit yang sedikit ataupun sakit yang teruk. Sakit atau cedera boleh berlaku atas banyak sebab sama ada dari diri sendiri mahupun disebabkan oleh perkara yang tidak terduga.

Sebagai umat islam persoalan pertama yang kita fikirkan bila ditimpa sakit atau cedera adalah bagaimana dengan solat? Adakah kita tidak perlu menunaikan solat sekiranya kecederaan kita teruk sehingga mengganggu kebolehan kita mengambil air sembahyang atau kita hanya perlu memasang niat dan melaksanakan dalam keadaan kekurangan? Sekiranya kita tidak solat maka macam mana firman ALLAH swt yang menyebut “solat adalah tiang agama” sekiranya tidak dijaga solat kita maka perkara yang lain menjadi tidak sempurna.

Nov 26, 2010

salah guna kuasa

“Nabi Musa diambil bekerja dengan 2 syarat utama iaitu al – qawi (kekuatan) dan yang kedua adalah al – amin(amanah)”. Al – qawi (kekuatan) dan kedua adalah al – amin(amanah). Allah juga berfirman iaitu “sesungguhnya orang paling baik untuk diberikan kerja adalah orang yang kuat lagi amanah.”(surah al-Qasas 28:26). Kekuatan adalah merujuk kepada seseorang yang mempunyai ilmu dan juga kepakaran. Seseorang yang amanah adalah sebaik – baik pekerja yang boleh dipercayai. Hari ini (khamis – 25 Nov 2010) ada satu taklimat yang diberikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada semua pekerja – pekerja di pejabat. Setelah selesai taklimat yang diberikan saya diberitahu oleh rakan yang salah satu “power abuse” atau salahguna kuasa adalah memberikan arahan tidak secara bertulis. Terfikir saya mengapa itu dikatakan salahguna kuasa?. Apa yang saya faham adalah salah guna kuasa adalah lebih menumpu kepada memberikan arahan berdasarkan kepada kepentingan peribadi atau dengan lebih tepat lagi memberi arahan untuk memberikan keuntungan kepada diri sendiri. Menurut Wikipedia salah guna kuasa juga tergolong dalam aktiviti rasuah atau korupsi. Mari kita lebih memahami adakah memberi arahan secara lisan merupakan salah satu unsure salah guna kuasa yang mana ianya menjadi salah satu unsur rasuah.


Nov 25, 2010

Doa Yang Tidak Diperkenankan

Hadith :


Dari Abu Hurairah r.a katanya,:Rasulullah SAW bersabda:”Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya:” Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Mukminun:51) “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu...”(al-Baqarah:172) Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! “. Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya.”

(Muslim)

Huraian


1. Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab-adab dan syarat-syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap bahawa berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang yang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah SWT.

2. Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk dari ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insyaAllah segala apa yang dipohon akan dikabulkan Allah.

3. Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara yang lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut .." (al-A'raf : 55)

4. Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:”Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa." (at-Tabrani).

- JAKIM -

Nov 23, 2010

Penghayatan Erti Kesalahan dan Kejahatan

Kita sentiasa diseur untuk membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan . setakat manakah kita menghayati akan bait – bait perkataan tersebut. Berbuat kebaikan, bermula dari niat sehinggalah terlaksana perbuatan baik tersebut kita diberikan pahala. Kejahatan, balasan ditangguhkan sekiranya kita hanya berniat dan tidak melakukan lagi perbuatan jahat tersebut. Malah setelah melakukan kejahatan/kesalahan kita sentiasa diberi peluang untuk kembali ke pangkal jalan dan berusaha meninggalkan perkara yang mungkar. ALLAH s.w.t sentiasa menerima taubat dari umatnya selagi matahari tidak di terbit di ufuk barat. Kita yang dilahirkan ke muka bumi ini sentiasa mempunyai hikmah dan tugasan yang perlu dilakukan. Semua nasib kita berada di arasy ALLAH s.w.t tetapi itu bukanlah bermakna kita tidak perlu berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik. ALLAH s.w.t berfirman “aku tidak akan mengubah nasib seseorang itu sehingga dia mengubah nasibnya sendiri”. Apa yang kita faham dengan firman ALLAH s.w.t itu. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh tanpa berusaha dengan alas an semuanya telah ditentukan oleh ALLAH s.w.t dan buat ape kita nak mengubah apa yang ALLAH s.w.t tetap. Pendirian sedemikian amatlah tidak memenuhi kehendak ilahi yang sentiasa mahukan umatnya membentuk diri sendiri agar menjadi insan yang terbaik dikalangan insan yang baik. Kesalahan dan kejahatan yang kita lakukan juga terdapat hikmahnya, mungkin dengan kesalahan dan kejahatan yang kita lakukan akan membiakkan hati menjadi putih bagaikan buih – buih sabun yang mencuci pakaian kotor agar kembali putih bersinar. Kita akan lebih merasa diri ini dekat dengan ALLAH s.w.t setelah kita bersungguh – sungguh berusaha memperbetulkan diri dari kejahatan dan kesalahan silam. Setiap kesalahan/kejahatan akan menjadikan kita lebih memahami peranan kita sebagai khalifah yang dipilih dikalangan beribu –ribu benih yang berenang untuk disenyawakan sebelum ditiupkan roh untuk memberikan nyawa bagi menghayati keindahan bumi sementara ciptaan ALLAH s.w.t sebelum menunggu alam akhirat yang kekal abadi.

Nov 20, 2010

Menjana Kejayaan

Bagaimanakah kita mengukur kejayaan? Adakah dengan menjadi jutawan kita telah berjaya atau mempunyai keluarga yang harmoni kita akan dikatakan telah berjaya. Sesungguhnya kejayaan adalah satu perkara yang subjektif. Kejayaan kita sebenarnya bergantung kepada setakat mana kita mencapai matlamat kita. Sekiranya kita mensasarkan untuk memiliki kereta caldina dalam tempoh 3 tahun sebagai matlamat maka kita akan dikira berjaya sekiranya kita mencapainya dalam tempoh yang telah ditetapkan dan begitu jualah sebaliknya. Sekiranya orang bertanya kita perkara pertama yang terlintas difikiran sekiranya disoal pasal orang berjaya mungkin kita akan mengatakan orang Berjaya adalah yang bergaji besar dan mempunyai rumah yang besar atau mungkin orang yang berkereta mewah adalah orang yang berjaya. Apa jua jawapan yang diberikan adalah menggambarkan persepsi kita terhadap orang berjaya tetapi pernah tak kita menyoal diri kita bagaimana seseorang itu berjaya? Apa yang membuatkan dia boleh berjaya? dan apakah pendorong kejayaannya? Daripada pelbagai jawapan dan pandangan yang pernah saya perolehi terdapat banyak faktor dalam menghasilkan kejayaan tetapi yang paling memberikan impak yang sangat luar biasa adalah tekanan. Dengan tekanan kita akan membuka minda lebih luar untuk mencari penyelesaian dan keputusan. ALLAH s.w.t juga menguji kita untuk menaikkan tahap kita disisinya. Dalam pekerjaan juga diadakan ujian dan temuduga untuk naik pangkat dan mendapatkan pekerjaan. Semua itu adalah terhasil daripada tekanan. Dari mana datangnya tekanan ini? Jawapannya adalah dari dalam diri kita sendiri. Saya pernah menghadiri satu seminar perniagaan yang saya rasa sangat – sangat bermakna dan dapat membuatkan kita menekan diri kita untuk berjaya. di dalam seminar tersebut dibongkar faktor kejayaan kritikal yang mana di bahagikan kepada 3, boleh tak saudara sekalian menekanya? Ya yang pertama adalah diri sendiri. Tentu ada yang tertanya mengapa diri sendiri? Diri sendirilah yang menentukan segalanya. Kalu kita nak mencuri sape yang suruh? Sudah tentu diri kita sendiri. Kalau kita nak berjaya, saper yang suruh? Ya semestinya datang dari diri sendiri. Faktor kedua adalah pelanggan. Kenapa pelanggan? Ya sudah tentulah pelanggan yang membeli produk atau perkhidmatan kita. Betul tak? Kalu tak ada pelanggan macam mana produk atau perkhidmatan kita akan terjual. Faktor ketiga dan terakhir adalah kaedah. Kenapa kaedah? Sebab, sekiranya produk atau perkhidmatan kita terhebat dipasaran sekalipun, tanpa kaedah yang betul kita tidak akan dapat memperkenalkan produk dan perkhidmatan kita ke pentas global. Hakikatnya orang berjaya adalah orang mempunyai caj – caj positif yang banyak dalam diri yang mana dengan caj – caj positif tersebut dia akan menjadi orang yang sangat luar biasa walau pada pandangan mata kasar orang tersebut biasa sahaja. Kejayaan tidak akan datang bergolek dan kegagalan tidak akan datang melayang. Semuanya terletak pada diri. Bak kata Dr Irfan Khairi dalam ebook “Mentor Jutawan”:"Berjaya atau gagal adalah tanggungjawab sendiri. Jangan pula bila berjaya kita kata kita hebat. Bila gagal kita beri alasan dan menyalahkan orang lain". Kebanyakkan orang akan memilih untuk menjadi orang biasa dan tak ramai memilih untuk menjadi jutawan. Kita boleh mengambil pengalaman jutawan untuk menjadi jutawan dan pembakar semangat serta menjadi aspek tekanan dalam diri bagi menonjolkan kebolehan luar biasa dari dalam diri sendiri.

Nov 19, 2010

Baitul Maqdis

Ketika kedatangan rejim Zionis pada perang 1948, Baitul Maqdis meliputi kira – kira 84.1% daripada keseluruhan kawasan tanah suci Palestin. Walaupun kebanyakannya adalah hak milik masyarakat Arab(lebih kurang 85%), namun kawasan itu telah dikuasai Yahudi dengan pembinaan – pembinaan kawasan penempatan Yahudi di kawasan Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya, berhampiran kampung – kampung Arab seperti Lifta dimana Parlimen Israel(Keneset) dan beberapa kementerian ditubuhkan, ‘Ain Karim, deir Yasin dan al – Maliha. Sehingga 1967, rejim Zionis telah Berjaya menguasai kawasan timur termasuk Masjid Al – Aqsa walaupun pada hakikatnya kawasan ini sebahagian dari Tebing Barat. Dua kawasan itu telah disatukan di bawah pemerintahan “Israel” pada 27 Jun 1967 dan pada 30 Julai 1980 ia telah diisytiharkan sebagai ibu kota “Israel”.

Ideologi Yahudi-Zionis menjadikan Baitul Maqdis sebagai isu utama di dalam agama dan sejarah Yahudi. Lima puluh tahun sebelum kewujudan Negara “Israel”, Herzl, pengasas Gerakan Zionis Antarabangsa, berkata, ‘Jika kita dapat menawan Baitul Maqdis sebelum saya mati, secara peribadi saya mengusir keluar semua yang kita anggap tidak suci bagi Yahudi dan membakar semua symbol sejarah yang dibina sejak berabad lamanya.

Untuk meneruskan program sistematik dan intensif Yahudi, “Israel” telah memperluaskan kawasan yang ditakluki secara beransur – ansur dari Baitul Maqdis ke Tebing Barat, dari 6.5km2 pada 1967 kepada 123km2 pada tahun 1990. Mereka merancang untuk menubuhkan “Baitul Maqdis Baru” yang merangkumi 840km2 iaitu 15% daripada kawasan Tebing Barat. Rejim Zionis telah menubuhkan 11 penempatan yang diduduki 220 ribu masyarakat Zionis di Timur Baitul Maqdis, sekitar Bandar lama di mana terdapatnya Masjid Al – Aqsa. Sejumlah 17 koloni Yahudi telah dibina di sekitar Baitul Maqdis dalam usaha mengusir masyarakat Arab-Muslim. Lantaran itu menjadikan umat Islam tidak mampu mengambil alih semula kawasan itu atau sekurang – kurangnya kawasan timur Palestin untuk masa hadapan.

Ketika 90% daripada populasi penduduk sebelum kedatangan British adalah masyarakat Arab, Juruselam telah meningkatkan perluasan kawasannya kepada 86% pada tahun 2000, Arab hanya memiliki 4% daripada tanah mereka manakala baki 10% adalah untuk generasi Yahudi yang akan datang.

Sejak tahun 1967, PBB dan Pasukan Keselamatan telah mengeluarkan pelbagai resolusi yang terang – terangan ditolak oleh Israel yang telah mengambil alih kawasan Timur Baitul Maqdis. Israel turut menolak saluran yang sah untuk menukar status Bandar itu agar tidak terikat dan memastikan tindakan mereka hanya menguntungkan pihak mereka semata – mata. PBB dan Majlis Keselamatan turut mengutuk tindakan Israel kerana melakukan kekejaman dan mereka berpendapat bahawa Israel sepatutnya berundur dari Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitul Maqdis. Resolusi pertama bernombor 2253 dikeluarkan pada 4 Julai 1967. Manakala pada 29 Julai 1980, resolusi kedua dikeluarkan berikutan penguasaan unilateral Israel ke atas Baitul Maqdis menyebabkan pertubuhan antarabangsa itu menggunakan kuasa yang ada padanya (Majoriti 112 dengan 8 pembangkang dan 24 berkecuali) untuk mengeluarkan resolusi bernombor ES712 yang menuntut pengunduran tanpa syarat oleh Israel dari semua kawasan yang ditawan termasuk Baitul Maqdis. Hari berikutnya, Majlis Keselamatan hampir bersetuju (14 undian tanpa undi dari Amerika) untuk mengeluarkan resolusi menuntut Israel supaya berhenti dari menguasai Palestin dan mengutuk tindakan Israel yang cuba menukar status Baitul Maqdis sebagai tidak sah. Walaupun pada dasarnya resolusi ini mengiktiraf hak asasi kemanusiaan rakyat Palestin namun ia masih kurang berkesan dan memerlukan satu tindakan berasingan bagi memastikan pelaksanaannya oleh Israel yang sememangnya begitu angkuh dan bongkak. Israel ternyata tidak pernah menghiraukan sebarang arahan dan kecaman daripada masyarakat antarabangsa.

 
- AMAN PALESTIN -

Nov 18, 2010

Suramnya Aidiladha

Penghayatan Aidiladha amat kurang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat kita hari ini terutama masyarakat bandar. Selalunya apabila datangnya bulan Ramadan ramai yang teruja untuk mengisi setiap masa Ramadan dengan pelbagai aktiviti rohaniah dan bila hampirnya Aidilfitri semua pasaraya rasanya terasa amat meriah sekali dengan wajah – wajah ceria Ibubapa dan anak – anak mencari perhiasan badan baru untuk disarung di pagi Aidilfitri. Ramai dikalangan penduduk bandar akan pulang ke kampung halaman sehingga jalanraya penuh sesak memberikan perkhidmatan bagi memudahkan mereka selamat sampai di kampung. Tiket bas, keretapi malah tiket kapal terbang pun penuh direbut. Terasa sangat hiba bila sambutan pagi Aidilfitri di perantauan. Segala kemeriahan itu tidak sampai ke pagi Aidiladha. Pagi Aidiladha terasa bagaikan pagi yang biasa dengan pagi – pagi lain dan persediaan untuk menyambutnya pun sangat – sangat tidak dirasai.
Tiada jualan murah yang dibuat oleh pasaraya malah tiada langsung lagu raya yang kedengaran dari corong – corong radio mahupun gedung – gedung besar. Yang kedengaran adalah lagu “Merry Cristmas”. Mungkin inilah dinamakan kesederhanaan dalam menyambut Aidiladha. Kemungkinan kemeriahan itu hanya bagi para pengunjung kota Mekah dan insan – insan yang tidak berkesempatan untuk ke sana tidak merasai nikmat yang ALLAH sediakan bagi mereka. Kemeriahan sambutan Aidiladha kebiasaan dapat dirasai oleh penduduk pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Itulah pandangan dan pendapat yang sama dengar sejak di Menara Gading. Entah mengapa penghayatan Aidiladha tidak dapat dihayati dengan semangat pengorbanan itu sendiri. Bukan kemeriahan dengan detuman mercun dan lambakan duit raya yang ingin dirasai tapi cukup sekadar kemeriahan dalam konteks korban itu sendiri itu dengan cuba menerapkan sunah – sunah rasullullah s.a.w. kita mungkin boleh memeriahkan Aidiladha dengan kemeriahan berkorban , bukan sekadar berkorban binatang malah masa dan juga tenaga dalam proses kerjasama dan penyatuan ummah dalam majlis korban dan memperbanyakkan kenduri daging korban serta penghayatan kepada golongan harapan. Bagaimanakah pengalaman anda dalam menghayati Aidiladha? Kongsikanlah kemeriahan yang dirasai dan luahan rasa dalam menyambut Aidiladha.
Utusan Malaysia : ORANG ramai mengerumuni lembu jenis Charolais Mega yang beratnya mencapai 1,500 kilogram sebelum dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha anjuran Surau Taman Safiah Murni, Bukit Payung Marang, Terenggganu,

Nov 17, 2010

Akhirnya puasa 9 zulhijjah

10 Zulhijjah 1431 Masihi
Allahu Akbar Allahu Akbar …. Allahu Akbar Allahu Akbar ….berkumandangnya azan maghrib tanggal 16 Nov 2010 bersamaan 9 zulhijjah 1431 Masihi bagi menandakan waktu berbuka puasa bagi yang berpuasa dan waktu untuk kita sama – sama bertakbir memuji ALLAH. Takbir hari raya merupakan kegembiraan bagi jenazah di dalam kubur kerana pada masa inilah jenazah tersebut terlepas sebentar dari seksaan di dalam kubur. kata tok ayah. Katanya lagi, sebaiknya kita yang masih hidup ini sebelum menunaikan solat hari raya hendaklah menziarahi pusara keluarga bagi menyedekahkan ayat – ayat Al – Quran buat meringankan sedikit penderitaan mereka yang telah pergi. Itulah kata – kata yang sering terngiang – ngiang di telinga ini setiap kali hari raya menjelang. Bagi masyarakat di kawasan pantai timur dalam pengamatan saya sangat – sangat menghargai hari raya korban. Kemeriahan hari raya korban di tempat mereka adakalanya melebihi raya aidilfitri. Seronok rasanya melihat akan kemeriahan itu. Dulu sewaktu kecil – kecil saya rasa sangat gembira setiap kali tibanya hari raya, tak kira samada hari raya Aidilfitri mahupun hari raya Aidiladha. Aidilfitri dengan kemeriahannya dan Aidiladha dengan kemeriahannya tersendiri. Keduanya saya berjalan mengunjungi rumah jiran untuk mengutip duit raya. Cuma duit raya korban tidaklah sebanyak duit raya Aidilfitri. Itu budaya kampungku syurgaku jauh di pendalaman negeri Pulau Pinang. Tapi kini kanak – kanak zaman sekarang tidak lagi seperti dulu rajin mengunjungi rumah – rumah jiran dan rasanya setiap penduduk kampung tak kira tua mahupun muda kenal antara satu sama lain walau berpuluh meter jaraknya. Tapi kini kekadang selang beberapa rumahpun dah tak kenal dan yang paling sedih yang langsung tak ambil peduli. Penangan zaman sains dan teknologi yang serba mencabarlah membuatkan masyarakat semakin kecil.
 Kehadiran pagi raya Aidiladha kali ini disambut tanpa umi dan abah didepan mata. Terasa sedih jugak la walau ditahan. Kehadiran Umi dan abah tidak akan sama walau diganti dengan 10 ibu dan bapa. Even Ibu dan bapa mertua pun tidak akan sama dengan umi dan abah. Setiap kali saya berjumpa umi dan abah walau sekejap terasa diri ini sangat bahagia dan sangat tenang sekali. Rindu dari kejauhan buat umi dan abah. Saya menyusun 10 jari sambil menadah tangan kepadamu ya ALLAH semoga diampunkan segala dosa – dosa yang telah lalu dan ditunjukkan jalan yang lurus bagi mengharungi hari – hari mendatang yang berliku dalam mengejar cahaya abadi.

Nov 16, 2010

Batasan Dalam Bergurau Senda

Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !”

Riwayat Abu Daud


Huraian :


i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.

ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:

a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .

b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.

c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.

d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.

e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.

f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.

g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.

iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.

- JAKIM -

Nov 15, 2010

Perjalanan Sejarah Palestin

Kronologi Palestin

2,500 sebelum masihi : Masyarakat Canaatites berhijrah secara beramai – ramai dari tanah Arab ke Palestin dan menjadi perintis kewujudan Palestin. Mereka mengasaskan lebih kurang 200 buah Bandar dan kampung di Palestin seperti Beisan (Beit Shean), “Asqalan (Askelon), “Akka (Acre), Haifa, Al – Khalil (Hebron), Asdud, Bir Al – Saba”(BeerSheba) dan Beit Lahm (Bethlehem).


- 1900 sebelum masihi : Nabi Ibrahim a.s membawa sinar tauhid ke tanah suci Palestin kira – kira pada 1,900 tahun sebelum masihi dan menjalin hubungan baik dengan pemerintah Baitul Maqdis ketika itu, Malki Sadiq yang berpengaruh.

- Anak – anak lelaki Nabi Ibrahim – Nabi – Nabi yang meneruskan perjuangan ayahandanya : Ismail (Ishmael) di Mekah, sementara Ishaq (Isaac) dan anak lelakinya Ya’qub (Jacob) (juga diberi gelaran Israel) menduduki Palestin. Nabi Ya’qub mempunyai 12 orang anak lelaki dikenali sebagai Bani Israel (Israelites) berhijrah ke Mesir. Di Mesir, mereka ditindas dan dizalimi oleh rejim Firaun.

- Tahun ke-13 sebelum Masihi : Allah mengutuskan Nabi Musa a.s untuk membebaskan mereka dari kezaliman dan penindasan Firaun serta tenteranya. Walaubagaimanapun, Bani Israel tetap enggan untuk menyertai Nabi Musa ke Tanah Palestin.

- Kehadiran Nabi Daud a.s : Nabi Daud dianugerahkan Allah s.w.t sebuah kerajaan kira – kira pada tahun 1,004 sebelum Masihi, yang menjadi lambing kelahiran era baru untuk sinar tauhid di Tanah Suci Palestin. Baginda mengalahkan pihak penceroboh dan menguasai hampir keseluruhan Palestin kecuali kawasan persisiran pantai. Baginda kemudiannya memindahkan pusat pemerintahan ke Baitul-Maqdis pada tahun 995 sebelum Masihi. Zaman pemerintahan anak lelaki Nabi Daud iaitu Nabi Sulayman a.s (Salamon) merupakan zaman pembangunan dan kegemilangan bagi Palestin.

- Kematian Nabi Sulayman a.s : Kerajaan baginda telah dipecahkan kepada dua pemerintahan. Yang pertama, “Kerajaan Israel” telah ditubuhkan di kawasan utara Palestin. Namun pemerintahan ketika itu (923 – 721 sebelum masihi) mengamalkan sistem rasuah dan keadaan menjadi terlalu huru – hara sehingga Ensiklopidea Brittanica menggelarkannya sebagai “Kerajaan Berekor”. Pada ketika itu, kerajaan Syria di bawah pemerintahan Raja Sargon II telah menghancurkan Kerajaan Israel ini. Kerajaan kedua dikenali sebagai “Kerajaan Judah” diperintah dari Baitul-Maqdis untuk tempoh 923 sehingga 586 sebelum masihi. Kerajaan ini terlalu lemah dan sering dijadikan sasaran ancaman luar. Kerajaan Judah akhirnya jatuh pada tahun 586 sebelum Masihi di tangan pemerintah Babylon. Nebukadnezer yang menawan Baitul-Maqdis dan memusnahkan gereja – gereja. Lembaran Yahudi ada meyebut tentang dosa dan hukuman bagi Bani Israel termasuklah kejatuhan kerajaan mereka.

- 539 – 332 sebelum Masihi : Palestin di bawah pemerintahan Parsi.

- 332 – 63 sebelum Masihi : Tamadun Greek menguasai Palestin.

- 63 sebelum Masihi – 394 Masihi : Empayar ROM menguasai Palestin. Pada tahun 63 sebelum Masihi, mereka menguasai seluruh kawasan Palestin dan empayar ROM mengabaikan pemerintahan Yahudi di Baitul-Maqdis. Yahudi telah membentuk dua kumpulan pemberontak untuk memberontak pada 66 - 70 dan 132 – 135 Masihi. Walaubagaimanapun, kdua – dua kumpulan telah dihancurkan secara zalim oleh tentera ROM.

- Bilangan Masyarakat Yahudi kekal rendah untuk 1800 tahun : Bilangan masyarakat Can’aan yang menjadi penduduk pribumi dan kelompok badwi Arab terus kekal di Palestin sebelum dan selepas kehadiran Israel sehinggalah ke hari ini.

- 394 – 636 Masihi : Empayar Byzantin mengaku menguasai kawasan Barat Empayar ROM sejak tahun 394 Masihi, dan mempunyai ruang di bawah pemerintahan Parsi sekaligus mendominasi Palestin.

- 636 – 1918 Masihi : Palestin di bawah pemerintahan Islam (kecuali untuk lebih kurang 88 tahun di bawah pemerintahan Crusades 1099 – 1187 Masihi). Palestin memperolehi identiti islamnya dan semua masyarakatnya adalah masyarakat Arab dan Islam.

- Di dalam kelemahan dan dalam mempertahankan diri, Kerajaan Kristian di Baitul-Maqdis telah terselamat dari beberapa cubaan serangan ketenteraan komander Muslim, seperti Nur al-Din Mahmud Zinki untuk selama lapan puluh lapan tahun tetapi akhirnya tewas di tangan pahlawan Islam Salah al-Din al-Ayyubi.

- 12 abad Muslim : menguasai Palestin yang berakhir pada 1917 adalah tempoh paling lama dan paling komprehensif pemerintahan dalam sejarah Palestin. Tambahan pula, tempoh itu adalah tempoh paling toleransi dan selesa untuk semua agama dan kerpercayaan. Rekod muslim memerintah Palestin dan memelihara kesuciannya ternyata layak dipuji dan memberi sinar kepada bumi Palestin.

- 1917 – 1948 : Palestin di bawah kekuasaan British.

- 1948 – 1967 : Rejim Zionis menguasai 77% daripada tanah Palestin.

- 1967 – kini : Rejim Zionis menguasai kawasan lain di Palestin(Tebing Barat dan Semenanjung Gaza)

- Oktober 2005 : Rejim Zionis dimalukan dan keluar dari Semenanjung Gaza.


- AMAN PALESTIN -

Nov 14, 2010

Istimewanya Palestin

Kedudukan Palestin di Dalam Islam

Palestin mempunyai tempat yang sangat istimewa di dalam hati setiap orang islam. Di dalamnya terletak Masjid Al - Aqsa, kiblat pertama bagi masyarakat Islam dan masjid ketiga suci di dalam Islam. Ia juga adalah tanah untuk Al - Israa.

Perjalanan Malam

Kerana kesuciannya, Nabi Muhammad s.a.w telah dinaikkan ke langit pada malam isra' Mikraj. Kitab suci Al - Quran menjelaskan bahawa di tanah itulah kebanyakan nabi - nabi dilahirkan, diangkat dan jasad mereka dikebumikan. Semoga ALLAH merahmati mereka semua. Menurut persektif Islam, tanah Palestin adalah tanah manusia akan dikumpulkan dan akan dihisab pada Hari Kiamat kelak. Inilah pusat keamanan sebenar. Sesiapa yang menduduki tanah Palestin dikira sebagai mujahid-pejuang di jalan ALLAH s.w.t.

- AMAN PALESTIN -

Nov 13, 2010

Memutuskan Silaturahim; Satu Dosa Besar

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim”

Riwayat al-bukhari

Huraian :


i) Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.

ii) Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:” Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”

iii) Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.

iv) Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.
v) Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.


- JAKIM -

Menyingkap sejarah tanah palestin

Nama Palestin diberikan kepada bahagian Barat Daya Bilad al – Sham(Syria), terletak di Asia Barat dan timur Mediterranean. Ia terletak di tengah – tengah laluan antara Asia dan Afrika, kedua – duanya merupakan kawasan masyarakat muslim. Palestin dapat ditentukan dengan kedudukannya yang hampir dengan Eropah. Ia terletak di sempadan utara Lubnan menghadap timur laut Syria dan timur laut Jordan serta ke arah selatan Mesir. Keluasan Palestin mengikut sempadan yang terlukis pada hari ini adalah 27,009km2.


Bukti sejarah kuat mengatakan bahawa penempatan manusia di Palestin bermula sejak zaman dahulu kala. Tanah itu turut menjadi saksi perubahan tamadun manusia dari mengusahakan ternakan lembu kepada pertanian. Bandar tertua di dunia, Jericho turut ditemui di timur laut Palestin pada tahun 8000 sebelum masihi.

Antara klasifikasi terawal di Palestin adalah Ard Can”aan(Tanah Can”aan) yang dinamakan sempena penghijrahan masyarakat Can”aan dari tanah Arab ke kawasan itu kira – kira 2,500 tahun sebelum masihi.

Nama Palestin diambil sempena nama masyarakat maritim(Philistines) yang telah bermigrasi dari Asia Barat Minor dan Sungai Agean ke tanah suci itu pada 12 abad sebelum Masihi. Mereka menetap di kawasan persisiran pantai, namun mereka telah berhijrah ke kawasan penduduk Can”aan dan nama mereka dikekalkan.

- AMAN PALESTIN -

Nov 12, 2010

Senyuman Suatu Sedekah

Hadith :


Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.”

(Ahmad)

Huraian :


1. Makruf adalah segala perkara yang diketahui umum tentang kebaikannya sama ada dari segi syarak atau dari segi adat (yang tidak bercanggah dengan syarak). Manakala perkara yang mungkar pula adalah sebaliknya.

2. Setiap mukmin hendaklah sentiasa bermuka manis dan berbudi bahasa tinggi semasa berhubung dengan orang lain kerana hal ini juga dianggap sebagai satu sedekah.

- JAKIM -

Nov 11, 2010

Bangkai Haram Dimakan

Hadith :


Abu Waqid r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apa-apa yang dipotong dari binatang ketika ia masih hidup, maka ia adalah bangkai.”

(HR Abu Daud)

Huraian :

Perkataan 'bangkai' diterjemahkan daripada maitah, iaitu satu daripada tujuh kalimah yang terbit daripada kata dasar mim wau ta, yang amnya bererti mati. Bangkai bermaksud binatang yang mati dengan sendirinya tanpa ada suatu pun usaha manusia yang sengaja menyembelih atau membunuhnya dengan cara berburu. Bangkai sahaja terhad pada haiwan yang tidak disembelih. Contohnya seekor lembu yang telah disembelih jika dibiarkan mati begitu sahaja sehingga berbau busuk dan berulat, maka ia dikategorikan sebagai bangkai juga. Binatang yang dicekik, dipukul, jatuh dari kedudukan yang tinggi, ditanduk atau kerana dimakan binatang buas, semuanya juga termasuk dalam pengertian bangkai. Begitu juga binatang yang disembelih untuk berhala, bukan kerana Allah juga mempunyai pengertian yang sama. Terdapat beberapa hikmah mengapa bangkai diharamkan untuk dimakan iaitu:

Naluri manusia yang sihat tidak akan tergamak memakai bangkai kerana ia dianggap kotor. Bahkan ia juga merupakan perbuatan yang merendahkan darjat manusia. Justeru semua agama Samawi menganggap bahawa bangkai adalah makanan yang haram. Ia tidak boleh dimakan kecuali yang mati kerana disembelih, meskipun berbeza cara sembelihan itu.

Supaya manusia membiasakan diri melakukan sesuatu dengan niat dan usaha iaitu menangkap binatang dengan niat hendak menyembelihnya dengan tujuan hendak memakannya.

Umumnya binatang yang mati dengan sendirinya adalah mati kerana sesuatu sebab iaitu mungkin kerana penyakit atau kerana termakan tumbuh-tumbuhan beracun dan sebagainya. Semua ini sudah tentu akan membahayakan manusia.

Allah mengharamkan bangkai kepada kita kerana hal tersebut memberi kesempatan kepada haiwan atau binatang lain memakannya sebagai rezeki mereka dan tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-makhluk-Nya.

Supaya manusia memberi perhatian terhadap binatang-binatang peliharaan mereka dan tidak membiarkan binatang itu diserang oleh penyakit sehingga mati. Sebaliknya ia hendaklah segera diberikan rawatan yang sepatutnya.

- JAKIM -

Nov 10, 2010

Dagang Di Dunia

Hadith :


Daripada Ibnu Umar r.a katanya: “Rasulullah SAW telah memegang kedua-dua bahu ku lantas bersabda : “Hendaklah kamu menjadi seperti seorang dagang di dunia ini atau seorang pengembara..” Ibnu Umar r.a berkata : “Apabila kamu berpetang-petang janganlah kamu menunggu waktu pagi, dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah tunggu waktu petang dan pergunakan masa sihat mu sebelum sakit mu dan masa hidup mu sebelum mati mu...”

(Al-Bukhari)

Huraian :


Seorang Muslim Hendaklah bersegera melakukan kebaikan dan memperbanyakkan amalan-amalan ketaatan dan kebajikan.

Janganlah melengah-lengahkan masa dan jangan pula mengabaikan masa dengan harapan untuk melakukannya kemudian sedangkan seseorang itu tidak dapat memastikan bilakah ajalnya akan tiba.

- JAKIM -

Nov 9, 2010

Bersediakah kita menghadapi ujian

Setiap insan di dunia ini pasti mengidamkan kehidupan yang baik dan sentiasa dibawah lindungan ALLAH s.w.t tetapi kita sentiasa lupa bahawa setiap daripada kita akan sering diuji tak kira usia mahupun darjat seseorang. Ujian ALLAH akan sentiasa datang untuk menguji kekuatan iman kita serta tahap kecintaan kita kepadanya. Ketika kita diuji sering kali kita akan terasa bagai diri ini keseorangan berfikir dan bermunajat memohon pertolongan yang maha esa. Kekadang kita akan merasakan semua permohonan kita bagaikan tidak diendahakan oleh ALLAH s.w.t. Ada juga masa kita akan merasa yang insan sekeliling kita bagaikan suka melihat kita merana dan kekadang kita akan merasa yang mereka bagaikan api dalam sekam. Kekadang jua apabila sesuatu permintaan kita bagaikan tidak dikabulkan kita akan merasa yang ALLAH tidak menghiraukan kita. Demi ALLAH segala permintaan yang kita pohon akan diberikan olehnya tetapi kekadang datangnya rahmat ALLAH dalam keadaan yang tidak kita sangka. Hanya ALLAH yang maha mengetahui baik buruk sesuatu yang kita pohonkan. Apakah dengan memohon sahaja ALLAH akan perkenankan tanpa ada apa - apa pengorbanan dari kita. Percayalah bahawa ALLAH hanya akan menguji kita dengan ujian yang boleh kita hadapi dan ALLAH tidak akan menguji seseorang umatnya sekiranya umatnya tidak dapat menerima bebanan ujian tersebut. Itulah janji ALLAH pada umatnya. Kekadang kita sering jua melihat ada insan yang kecundang pabila berhadapan dengan ujian ALLAH. Adakah ini dikatakan gagal menghadapi ujian ALLAH dan insan tersebut tidak dapat menahan atau menerima ujian tersebut? Bagi saya insan tersebut kecundang bukan kerana dia diuji dengan ujian yang tidak terpikul olehnya tetapi lebih kepada penyediaan diri insan tersebut dan bagaimana cara dia menghadapi ujian tersebut. Itulah intipati kepada kejayaan mengharungi ujian ALLAH didunia ini. Apa kata anda?

Batas Umur Dibenarkan

Hadith :


Dari Ibnu Umar r.a, ia meminta kepada Rasulullah saw untuk menjadi tentera pada waktu peperangan Uhud, sedangkan dia ketika itu berusia empat belas tahun. Baginda tidak membenarkan. Kemudian dia kemukakan lagi permohonan untuk menyertai peperangan Khandaq dan dia ketika itu sudah berusia lima belas tahun. Baginda membenarkan.”

(Bukhari)

Huraian :


Istilah "kedewasaan" menunjuk kepada keadaan sesudah dewasa. Sedangkan istilah “pendewasaan” merujuk kepada keadaan belum dewasa.

Islam membeza hal ini kerana syariat menganggap, dalam kematangan berfikir dan keseimbangan psikologi pada orang belum dewasa adalah masih dalam taraf permulaan dan memerlukan bimbingan khusus.

Kerana itulah Rasulullah tidak membenarkan Ibnu Umar menyertai peperangan kerana ketika itu dia masih terlalu mentah (budak) dan belum dapat berfikir atau membuat keputusan yang baik apalagi dalam hal-hal peperangan yang memerlukan pemikiran yang tangkas terutama dalam mengatur strategi peperangan.

Jika tersilap langkah kemungkinan tindakan yang diambilnya akan mendatangkan bahaya kepada orang Islam seluruhnya.

- JAKIM -

Nov 8, 2010

Bersedekah Sebagai Tanda Bersyukur Dengan Rezeki Kurniaan Allah

Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian :
 
i) Amalan memberi sedekah disifatkan sebagai penebus dan pelupus dosa dan ia merupakan pintu kebajikan yang boleh menghalang daripada api neraka. Orang yang suka bersedekah menunjukkan dia bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah di mana ia merupakan kunci utama ketenangan dan kebahagian hidup di dunia.

ii) Aspek yang terpenting dalam bersedekah ialah keikhlasan niat bahawa amalan itu adalah kerana Allah S.W.T semata-mata, tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk kononnya kita adalah seorang yang pemurah dan sebagainya;

iii) Tidak sewajarnya kita bersedekah kepada orang lain, sedangkan keperluan diri dan keluarga sendiri diabaikan. Oleh itu sebaik-baik cara bersedekah ialah ia dimulakan dengan orang yang di bawah tanggungan sendiri, keluarga dan sanak saudara kerana memberi kepada orang yang berhak itu adalah lebih utama;dan

iv) Bersedekah sesungguhnya akan memuliakan maruah seseorang sebaliknya meminta sedekah akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam menggalakkan umatnya agar berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki, bukan mengharapkan belas kasihan orang lain.

- JAKIM -

Nov 7, 2010

Larangan Menarik Balik Sedekah

Hadith :
 
Dari Abdullah bin Umar r.a katanya:”Bahawasanya Umar bin al-Khattab telah bersedekah kuda fi sabilillah . Kemudian didapatinya kuda itu dijual orang dan dia bermaksud hendak membelinya. Namun sebelum itu dia pergi menemui nabi meminta nasihat baginda. Nabi bersabda kepadanya:” Janganlah engkau ambil kembali sedekahmu.”
 
(al-Bukhari)
 
Huraian :
 
Orang yang paling hebat dan paling kuat adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus, dan ikhlas tanpa adanya unsur-unsur untuk menunjuk-nunjuk ataupun keinginan untuk diketahui oleh orang lain. Ini disebabkan naluri manusia sebenarnya selalu rindukan pujian, penghormatan, penghargaan, ucapan terima kasih dan sebagainya. Bahkan di hati kita pun selalu terdetik untuk mempamerkan segala apa yang ada pada diri kita ataupun segala apa yang boleh kita lakukan. Apalagi jika yang ada pada diri kita atau yang sedang kita lakukan itu berupa kebaikan. Manakala menarik balik sedekah pula adalah satu perbuatan yang disifatkan oleh rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadith sebagai memakan semula sesuatu yang telah dimuntahkan oleh seseorang. Ini menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan yang buruk dan amat memalukan Sesungguhnya sedekah adalah penolak bala, penyubur pahala, dan melipatganda rezeki seseorang; sebutir benih menumbuhkan tujuh tangkai, yang pada tiap-tiap tangkai itu terjurai seratus biji. Ertinya, Allah yang Maha Kaya semestinya akan membalas setiap sedekah itu hingga tujuh ratus kali ganda.
 
- JAKIM - 

Nov 6, 2010

Colmar Tropicale @ Berjaya Hills


Berjaya Hills @ Bukit Tinggi
Kemasyuran menara condong paris mungkin tidak dapat menandingi permandangan rekaan ala – ala perancis mungkin sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan kepada sesiapa yang sangat meminati bumi perancis itu dan juga sebagai santapan insan yang tidak langsung berkesempatan memijak bumi france yang sentiasa menjadi bualan dan idaman insan yang menyukai suasana romantis. Colmar, bukit tinggi menjanjikan suatu pemandangan yang sangat indah dan tenteram dalam suasana kemahsyuran bumi perancis. Selain dari itu juga terdapat taman arnab, horse riding, Japanese green tea, botanical farm, jungle tracking dan juga organic farm yang tidak dapat ditemui/jarang ditemui di ditempat lain.
Rabbit Park

Rabbit Park

Keldai ini juga adalah spesis kuda Cuma yang membezakan keldai ini dengan kuda adalah ianya jarang dan sangat susah untuk naik minyak kalau kita tunggangnya, kata penjaga keldai tersebut. Saya berasa sangat menarik dengan penerangan yang diberikan. Keldai ini sangat fokus dan sentiasa memberitahu kita bila tiba masa makan dengan mengeluarkan bunyi, kata si penjaga itu lagi. Penjaga itu sangat berilmu berkaitan keldai tersebut. Katanya lagi, yang sangat istimewanya berkaitan keldai ini adalah fokusnya mencakupi semua segi baik dari aspek membuang air besar, penginapan/kandangnya dan giliran mandinya. Keldai ini bagaikan sudah tahu giliran yang diberikan untuk dimandikan, setelah selesai seekor keldai mandi giliran seterusnya akan terus datang untuk dimandikan tanpa perlu menjemputnya.

Feeding Rabbit
Yang paling seronoknya lagi berkaitan keldai ini adalah ada yang pandai minta rasuah, tergamam jugak saya dibuatnya bila terdengar penjelasan dari penjaganya. Ingatkan manusia sahaja yang sentiasa dahagakan rasuah bagi yang nipis imannya, keldaipun ada yang pandai minta rasuah kata saya sambil ketawa bersama. Keldai tersebut tidak akan mengikut cakap sekiranya tidak diberi makan terlebih dahulu, andai diberi makan barulah keldai tersebut akan mengikut apa yang kita minta dia buat, kata si penjaga keldai itu lagi. Seronok saya mendengar cerita dari penjaga keldai tersebut sehinggakan panggilan anakpun tak terperasan dibuatnya. Ilmu baru sangat berharga, sebab itulah adanya ungkapan belajarlah hingga ke negeri China dan sering juga kita diingatkan yang pembelajaran kita tidak akan tamat selagi kita tidak dijemput oleh yang maha Esa. Pemandangan alam ciptaan tuhan tidak pernah diragui akan kecantikannya. Susun atur dan cara dipersembahkan membuatkan ianya lebih cantik dan mengujakan mata yang sering memandang bangunan pencakar langit dan debu yang menyesakkan.
Family Fun Center
Banyak juga aktiviti yang dapat dilakukan bersama keluarga untuk menambahkan lagi kemesraan dalam institusi kekeluargaan yang kekadang berada dalam situasi yang tegang dan tertekan. Antara aktiviti yang dapat dilakukan adalah seperti mewarna, memberi makan binatang, berenang, pusat hiburan keluarga dan sebagainya. Kegembiraan sangat terserlah di wajah anak - anak yang sentiasa ditinggalkan bersama pengasuh. Masa inilah dapat diluangkan melakukan aktiviti bersama dan juga bersembang dengan anak - anak. Seronok tak tidur kat hotel nie?, tanya saya pada anak - anak saya. Seronok, kalu kat rumah alya boring kat sini alya seronok sangat, jawab anak saya. Terkedu sebentar dari berkata - kata, saya bagaikan ditusuk sembilu dengan kata - kata itu. Rupa - rupanya masa yang saya luangkan bersama mereka masih tidak cukup untuk menghilangkan kebosanan mereka di rumah. Mungkin kerana mereka dibiarkan bermain sendirian yang membuatkan mereka terasa bosan dan tidak dipedulikan.

Colmar Trophical
  Sesekali kesegaran alam maya ini memberi satu semangat baru dalam hirupan udara segar dan nyaman. Percayalah bahawa waktu – waktu begini sangat susah untuk dizahirkan dalam kesibukan kerjaya ibubapa dalam memenuhi tuntutan zaman yang serba mencabar. Adakah kita dapat meluangkan 1 jam @ lebih tumpuan kepada keluarga dalam sehari, jika tidak pun dalam seminggu? Berikanlah pendapat anda…

Larangan Menyombong Diri

Hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah”. Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan”.

Riwayat Muslim

Huraian :


1. Sifat sombong dan takbur adalah ditegah oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya demi menjaga kesejahteraan hidup.

2. Kita harus melakukan apa sahaja yang disukai demi keselesahan dirinya sendiri mahupun keluarga tetapi janganlah sampai melanggar batas syariat dan janganlah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain kerana ia akan menimbulkan perasaan dengki dan benci orang lain yang mengakibatkan permusuhan.

3. Islam tidak melarang umatnya daripada mengutamakan keindahan dalam sesuatu perkara kerana keindahan itu adalah kesempurnaan yang boleh membangkitkan ketenangan.

- JAKIM -

Nov 4, 2010

Doa Dan Harapan

Hadith :


Nukman bin Basyir meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda:”Doa merupakan satu ibadat, lalu baginda membaca ayat: “Dan berkata Tuhan-Mu: “Berdoalah kepada-Ku...”

(Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Huraian :


Doa adalah jambatan seorang hamba untuk menyampaikan keinginannya. Namun hendaknya kita tidak hanya meminta sesuatu yang hanya mencakupi urusan dunia semata, melainkan mencakupi urusan dunia dan akhirat sekaligus sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran yang maksudnya:” "Maka di antara manusia ada yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia'. dan tiadalah baginya kebahagiaan di akhirat.

Dan di antara mereka ada yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.' Mereka itulah orang-orang yang mendapat kebahagiaan dari apa yang mereka usahakan. Dan, Allah sangat cepat perhitungan-Nya." (al- Baqarah : 200-202).

- JAKIM -

Nov 3, 2010

Kewajipan Berlaku Adil Terhadap Anak-anak

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian :


i) Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

ii) Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

iii) Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.

iv) Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya:” Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Abu Daud & Hakim)
 
- JAKIM -

Nov 2, 2010

Isteri derhaka

Hadith :

Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:”Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka.. Ketika itu kulihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir.” Baginda ditanya oleh seseorang:”Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasulullah, “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata:”Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun!”

(al-Bukhari)


Huraian :
 
1. Seorang suami tidak boleh membenci isterinya sampai menceraikannya hanya kerana satu kelakuan isterinya yang tidak menyenangkan. Tetapi hendaklah dipertimbangkan dengan perilaku lain yang menyenangkan dari isterinya. Begitu jua keadaannya bagi seorang isteri terhadap suaminya.

2. Tugas seorang isteri di samping harus taat kepada Allah SWT hendaklah taat kepada suaminya. Sekiranya kedua-dua tugas ia dapat dilaksanakan dengan baik, maka syurgalah baginya. Sabda Rasulullah: "Jika seorang perempuan telah sembahyang lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti ia masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya." (Riwayat Ibnu Hibban)

3. Sebagai perempuan atau wanita yang bergelar isteri, kita mempunyai satu kewajipan yang besar dan penting terhadap suami. Sebelum kewajipan lain dilaksanakan, kewajipan terhadap suami harus didahulukan. Manakala bagi lelaki mereka pula mempunyai kewajipan yang amat besar terhadap ibunya. Sejauh kemampuannya, ia perlu memenuhi setiap kewajipan terhadap ibunya, kerana itu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

4. Rasulullah bersabda: "Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan-ikan di dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanyalah laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah Ta'ala sampai ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaanya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya hingga ia pulang." (Riwayat Al Bazzar).

- JAKIM -